MENCARI CINTA DARI YANG MAHA ESA
Allah
Taala ada berfirman: “Wahai Daud! Sampaikanlah kepada penduduk bumi-Ku,
bahawa Aku mencintai siapa yang mencintaiKu. (Aku) duduk dengan siapa
yang duduk-duduk denganKu. Berjinakan dengan siapa yang berjinakan
dengan mengingatiKu. Teman kepada siapa yang berteman denganKu. Memilih
dengan siapa yang memilih Aku. Patuh dengan siapa yang mematuhiKu. Siapa
yang mencari Aku dengan kebenaran, nescaya dia akan mendapat Aku. Dan
siapa yang mencari selain daripadaKu, nescaya dia tidak akan mendapat
Aku. Lemparkanlah wahai penduduk bumi, akan apa yang berada kamu di
atasnya, daripada tipuannya. Marilah kepada kemulian-Ku, berteman dengan
Aku dan duduk-duduk dengan Aku. Berjinak-jinaklah dengan Aku, nescaya
Aku berjinak-jinak pula dengan kamu. Dan Aku bersegera mencintai kamu.”
CARA MENDAPATKAN "CINTA"
Biasanya Tuhan tidak akan mengurniakan perasaan cinta dengan mudah-mudah
kepada hamba-hamba-Nya tanpa melalui ujian-Nya terlebih dahulu.
Alangkah bahagianya menjadi hamba yang dipersucikan oleh Tuhan. Dengan
itu, marilah kita berdoa agar kita termasuk ke dalam golongan hamba yang
dianugerahkan kecintaan oleh Tuhan . Tidak lupa juga kita berdoa agar
Allah memberikan kekuatan dan kejayaan dalam melalui ujian-Nya.
Aku iri hati selalu
(Akan ) cerita dan berita orang soleh zaman dahulu
Hebatnya cinta mereka pada-Mu
Hilang selera makan kerana-Mu
Asyik memuja dan memuji-Mu
Mensuci dan membesarkan-Mu
Terutama di waktu malam yang sepi
Di waktu orang (ber)mimpi
Mereka memuja-Mu, merintih pada-Mu
Mengharapkan kasih sayang pada-Mu
Air mata mereka membasahi pipi
Adakalanya menitis ke bumi
Mereka merasakan Engkau adalah segala-galanya
Engkau adalah hidup mati mereka
Engkau adalah (sentiasa) dibibir mereka
Engkau adalah hati jantung mereka
Tapi aku tidak begitu
Aduh……. keras hatiku, keras hatiku!
Hingga kini aku belum mencintai Kekasih Agungku
Baru aku sedar
Cinta padaMu adalah anugerah dan hidayahMu
Bertuah dan berbahagialah orang yang Engkau anugerahkan kecintaan padaMu
Aku (pula) bilakah lagi Tuhan?
Dapat sedikit pun jadilah
Aku tidak (akan) putus asa
Aku cuba lagi selagi ada nyawa di badan
Di hujung hidupku kalau dapat (cinta) pun, sudah cukuplah
Wahai Tuhan Al Hannan Wal Mannan
Kita
hanya mampu berusaha, sedangkan ‘rasa cinta kepada Khalik’ itu
sebenarnya merupakan anugerah Allah SWT yang boleh diberikan-Nya kepada
sesiapa jua yang dikehendaki-Nya. Sebab itu ada orang yang berusaha,
tetapi tidak dianugerahkan. Dan ada orang yang tidak berusaha, tetapi
kadang-kala dianugerahi-Nya pula. Itu semua adalah kerja Tuhan yang
tidak akan sampai ke pemikiran kita untuk menghuraikannya.
Samalah
halnya dengan orang yang pergi memancing ikan. Orang yang pergi, boleh
jadi akan mendapat ikan tetapi orang yang tidak pergi, sudah tentu tidak
akan mendapat ikan. Tetapi kadang kala orang yang tidak pergi ada juga
mendapat ikan melalui orang lain, sedangkan orang yang pergi pulang
dengan tangan kosong. Dapat ikan pun tidak, diberi orang pun tidak.
Begitulah tamsilannya.
Nabi SAW bersabda:
“Apabila Allah hendakkan
kebajikan kepada seseorang hamba itu, nescaya diperlihatkan Nya hamba
itu akan kekurangan dirinya (kekurangan diri hamba tersebut).”
(Abu Mansur Ad Dailami)
Ketahuilah,
sesungguhnya semua manusia jika ditanya akan mendakwa yang dia cintakan
Allah. Alangkah mudahnya untuk mengakui dirinya mencintai Allah.
Janganlah kita mudah tertipu dengan godaan syaitan dan diri sendiri,
kononnya diri kita mencintai Allah Taala sedangkan kita belum diuji
dengan tanda-tanda tertentu. Ini bersesuaian dengan firman Allah Taala;
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُون
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: “Kami telah beriman” sedangkan mereka belum diuji lagi?
(Al Ankabut : 2)
Cinta
itu ibarat sepohon kayu yang subur. Akarnya tetap di bumi, cabangnya di
langit dan buahnya lahir di hati, di lidah dan pada anggota-anggota
badan.
Apabila manusia sudah tahu, untuk sampai kepada Yang Dicintai
mestilah dengan berangkat dari dunia ke akhirat melalui mati, maka
sayugialah dia mencintai kematian. Dia tidak akan lari daripada kematian
itu. Sesungguhnya orang yang bercinta itu tidak akan keberatan untuk
berpisah daripada tanah airnya menuju kepada Kecintaannya, untuk
bersenang-senang dalam keadaan menyaksikanNya. Mati itulah kunci
pertemuan dan pintu masuk untuk menyaksikan Allah SWT.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
“Siapa yang cinta untuk bertemu dengan Allah, nescaya Allah (juga) cinta untuk menemuinya.”
(Bukhari & Muslim)
Sebahagian
salaf berkata: “Selepas cinta bertemu dengan Allah, tidak ada suatu
perkara pun yang lebih dicintai oleh Allah kepada hambaNya selain
daripada banyak sujud. Maka dahulukanlah kecintaan untuk bertemu dengan
Allah dengan membanyakkan sujud.”
Fahamlah kita, bahawa
pertamanya Allah mencintai hamba yang cinta untuk bertemu dengan-Nya.
Yang jatuh di tempat kedua ialah Allah mencintai hamba yang membanyakkan
sujud. Dengan itu hendaklah kita banyak mengerjakan solat nafil
(sunat).
Dikatakan Imam Ahmad bin Hanbal mengerjakan solat sunat
300 rakaat dalam sehari semalam. Beliau telah dihukum sebat oleh
pemerintah kerana keengganannya mengikut telunjuk mereka menyebabkan
tubuhnya menjadi lemah. Dengan itu dia pun mengurangkan solat sunatnya
kepada 150 rakaat sahaja dalam sehari semalam. Sebagai pengetahuan,
ketika itu beliau berusia 80 tahun.
Imam Abu Yusuf rah.a. adalah
seorang Hakim Besar Negara. Sungguhpun sibuk dengan tugas yang berat itu
namun dia masih mampu istiqamah solat sunat 200 rakaat sehari semalam.
Inilah
permulaan untuk mendapat kecintaan kepada Allah SWT Yang Maha
Penyayang. Bagaimana dengan kita? Beranikah kita mendakwa yang kita
telah jatuh cinta kepada Tuhan?
Satu lagi tanda benarnya kecintaan
seseorang hamba kepada Tuhannya ialah kesanggupan hamba itu mencari
syahid dengan berperang pada jalan Allah (sabilillah).
Allah Taala berfirman:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا
“Sesungguhnya Allah itu mencintai orang-orang yang berperang di jalan Allah, dalam barisan perang yang teratur.”
(As Saf : 4)
يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُون
“Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh.”
(At Taubah : 111)
Diriwayatkan
bahawa Ishak bin Saad bin Abi Waqqas berkata: “Diceritakan kepadaku
oleh bapaku (Saad bin Abi Waqqas) bahawa Abdullah bin Jahsyin pada hari
Perang Uhud berkata kepadanya : “Mengapa tidak kita berdoa kepada
Allah?”
Lalu mereka pun memencilkan diri di suatu sudut. Abdullah bin
Jahsyin pun berdoa. Beliau mengatakan: “Wahai Tuhanku. Sesungguhnya Aku
bersumpah kepada-Mu. Apabila aku bertemu dengan musuh esok, maka
temukanlah aku dengan lelaki yang sangat perkasa, yang sangat bengis.
Aku akan berhadapan dengan dia pada jalan Engkau dan dia akan berhadapan
dengan aku. Kemudian dia menewaskan aku lalu dipotongnya hidung dan
telingaku serta dikoreknya perutku. Apabila aku menjumpai Engkau nanti,
nescaya Engkau berfirman, “Wahai Abdullah (hamba Allah). Siapakah yang
telah memotong hidung dan telinga engkau?” Maka akan kujawab, “(Ia
dipotong musuh) pada jalanMu ya Tuhanku dan pada jalan RasulMu.” Lalu
Engkau berfirman, “Engkau benar.”
Esoknya Abdullah bin Jahsyin berjaya kembali kepada Tuhannya sebagaimana dalam keadaan yang dimintanya itu.
Apabila
Imam Al Ghazali memetik riwayat di atas dan dimuatkan ke dalam kitab
Ihya’ Ulumiddin yang terkenal itu, ini maksudnya beliau mengiktiraf niat
para mujahid Islam yang pergi berperang dengan niat untuk mati syahid,
yang tidak terfikir untuk pulang ke rumah lagi selepas pemergiannya.
Malangnya dewasa ini begitu banyak ulama-ulama jahat yang mengatakan
kononnnya jihad bertujuan mencari syahid adalah salah. Siapalah agaknya
mereka berbanding Imam Ghazali……
.
Sufyan Ath Thauri dan Bisyr Al
Hafi (kedua-duanya wali besar) mengatakan: “Hanya orang yang ragu-ragu
yang benci kepada kematian kerana orang yang bercinta walau bagaimanapun
tidak akan benci bertemu dengan Kekasihnya.”
Bolehkah seseorang itu
dikatakan mencintai Allah sedangkan dia tidak mencintai mati? Kata Imam
Ghazali: “Benci kepada kematian itu ada kalanya kerana cinta kepada
dunia, merasa sedih (untuk) berpisah dengan isteri, harta dan anak-anak.
Ini menyebabkan kecintaan kepada Allah Taala tidak sempurna kerana
cinta itu hanya sempurna apabila dihabiskan seluruh hati (hanya kepada
Allah).”
Sesungguhnya kenikmatan yang akan dikecapi ketika bertemu
dengan Tuhan bergantung pada kadar kecintaan seseorang itu kepada Tuhan
ketika di dunia. Lebih besar kecintaannya, lebih besarlah kenikmatan dan
kelazatan ketika menemui Allah nanti.
Begitu pula halnya dengan azab
yang ditanggung ketika hendak berpisah dengan dunia (mati). Lebih besar
kecintaannya kepada dunia, maka lebih besarlah pula azab yang dirasa
ketika nyawa hendak keluar. Maka, zuhudlah ketika hidup, nescaya mudah
ketika sakaratul maut.
Renungkanlah kisah Nabi Yusuf a.s.
dengan Zulaikha. Sebelum Allah menganugerahkan iman ke dalam diri
Zulaikha, dia sanggup memerangkap Nabi Yusuf yang kacak itu untuk
memuaskan nafsu syahwatnya, tetapi digagalkan oleh Allah SWT. Dia juga
sanggup memfitnah Nabi Yusuf dengan tuduhan cuba mencabul kehormatannya
pula.
Akhirnya, setelah beriman dan dianugerahkan kecintaan oleh
Allah, dia berjaya juga menjadi isteri Nabi Yusuf. Namun begitu jiwa
nuraninya telah berubah sama sekali. Daripada tergila-gilakan Nabi Yusuf
Zulaikha kini tergila-gilakan Allah pula. Dia sering mengasingkan diri
dan menghabiskan masanya dengan beribadah. Seringkali Nabi Yusuf
mengajaknya tidur bersama tetapi dia enggan. Kata Zulaikha: “Wahai
Yusuf. Memang aku mencintaimu sebelum aku mengenal Dia. Apabila aku
telah mengenal Dia, nescaya aku tidak mencintai yang lain selain
kecintaan kepadaNya. Aku (juga) tidak mahu akan gantiNya.”
Nabi Yusuf
a.s. pun berkata kepada Zulaikha: “Sesungguhnya Allah Yang Maha Agung
Sebutan-Nya yang menyuruh aku demikian (tidur bersama Zulaikha). Dia
memberitaku kepadaku yang Dia akan mengeluarkan dua orang anak daripada
engkau. Dan kedua-dua orang anak itu nanti akan dijadikan-Nya nabi.”
Setelah Zulaikha tahu itu perintah Allah, maka dia pun taat kerana yakin
itulah jalan yang dibukakan oleh Allah untuk dia, yang akan mendekatkan
lagi dirinya dengan Allah.
Sesiapa yang mencintai Allah sudah
tentu tidak akan berbuat maksiat kepadaNya. Sebaliknya akan sentiasa
taat dan patuh kepada kehendak Kekasih Agungnya.
Sahal berhata: “
Bukanlah semua orang yang beramal dengan mentaati Allah Azza wa Jalla
itu (akan) menjadi orang yang dikasihi (Tuhan). Orang yang dikasihi
(Tuhan) itu itu ialah orang yang menjauhkan segala yang dilarang.”
dipetik dr myalexanderwathern.blogspot.com